Pengendali KL City, Bojan Hodak memberi bayangan bahawa beliau ada pelan khas buat KL City di pentas separuh akhir Piala AFC.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia ini akui bukan mudah untuk menghadapi Sabah. Malah, beliau turut menegaskan kepada anak buahnya terus bersedia dengan apa jua ancaman The Rhinos kerana mereka ada kelebihan yang akan dibantu sokongan padu daripada penyokong tuan rumah.
Akan tetapi, beliau yakin pasukannya telah membuat persediaan awal untuk tampil lebih cemerlang dalam perlawanan Liga Super Khamis ini di Stadium Likas.
Hodak turut teruja dan percaya sokongan padu dalam pasukan ini sendiri merupakan salah satu faktor kebangkitan yang ditunjukkan oleh para pemain.
“Persiapan menentang Sabah FC ketika ini berjalan lancar. Atmosfera dalam pasukan ini sendiri sangat bagus selepas kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala AFC.”
“Walaupun ia bukan satu tugas mudah menentang Sabah yang ketika ini di tangga kedua liga, namun saya harap mereka mampu memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar.
Minggu lalu, KL City telah melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai final Piala AFC Zon ASEAN selepas menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar 5-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.