Bekas pemain badminton kebangsaan, Tan Boon Heong mengakui kagum dengan mentaliti yang dimiliki beregu lelaki kelima dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Ini kerana bekas pemain beregu nombor satu dunia itu melihat itu sebagai senjata utama mereka setiap kali menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia BWF.
“Saya rasa mentaliti mereka bagus terutama dalam kejohanan besar. Cara mereka mengendalikan tekanan dan fikiran itu amat bagus,” katanya semasa menjadi panel The Bang Med Show.
Malah, Boon Heong percaya seandainya perbandingan dibuat antara beliau dengan Aaron-Wooi Yik, kelebihan memihak kepada bekas juara dunia 2022 itu.
Ini kerana Aaron-Wooi Yik bijak mengawal tekanan daripada mempengaruhi corak permainan mereka ketika beraksi di gelanggang.
“(Mereka lebih baik) kalau banding dengan saya. Sebab saya kalau saya hadapi kejohanan besar, tak pandai sangat. Mereka lagi pandai,” tambahnya.
“Kalau tengok cara permainan mereka, tak berapa kuat. Kekuatan mereka tak nampak sangat tapi mereka boleh menang sebab mental mereka kuat.”
Aaron-Wooi Yik ketika ini fokus kepada saingan India Open 2025. Mereka bakal berdepan wakil Thailand, Peeratchai Sukhpun-Pakkapon Teeraratsakul dalam pusingan pertama yang berlangsung pada 15 Januari.
Aaron-Wooi Yik berharap dapat mengikut jejak empat wakil negara yang berjaya mara ke pusingan seterusnya.
Empat wakil Malaysia yang mara ke pusingan kedua ialah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Leong Jun Hao dan Arif Junaidi-Yap Roy King.