Borussia Dortmund Muat Naik Video Dion Cools
MakanBola
Borussia Dortmund

Bintang Harimau Malaya dan Cerezo Osaka, Dion Cools meraih perhatian ramai menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund.

Hantaran yang dimuat naik di laman media sosial memaparkan kelibat Dion Cools tampil dengan ucapan terima kasih di atas sokongan peminat-peminat ketika Cerezo Osaka mengalahkan Borussia Dortmund 1-0 di laman sendiri pada Rabu.

“Hai, Dion Cools di sini dari Cerezo Osaka. Hari ini kami mengharungi satu perlawanan yang hebat menentang Borussia Dortmund,” ucap Dion Cools.

“Saya nak mengucapkan terima kasih atas segala sokongan anda semua di Malaysia. Semoga kalian menikmati perlawanan ini serta aksi seterusnya. Terima kasih,” ujar pertahanan berusia 30 tahun itu lagi.

Gol awal oleh Solomon Sakuragawa seawal minit ke-8 sudah memadai buat Cerezo Osaka mengejutkan bekas finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu di gelanggang sendiri dengan Dion Cools bermain cemerlang hasil penilaian statistik oleh Sofascore.

Kapten Malaysia itu mencatatkan ketepatan hantaran 82% (27 daripada 33 hantaran), dengan prestasi cemerlang 95% (19/20) apabila beroperasi di kawasan sendiri, menunjukkan disiplin dan ketenangan menguruskan bola di kawasan bahaya menentang tekanan pressing pemain-pemain Dortmund.

Cools turut aktif membawa bola ke kawasan lawan, mencatatkan ketepatan 62% (8/13) bagi hantaran di separuh kawasan Dortmund selain menghantar 2 lorongan silang (crosses) dan 4 daripada 7 hantaran jauh (long balls) tepat ke sasaran.

Walaupun tidak merekodkan sebarang hantaran kunci (key passes) pada aksi kali ini, Cools masih lagi menerima penilaian keseluruhan sebanyak 7.0 dari laman Sofascore, lebih tinggi berbanding rakan sepasukannya, Shinnosuke Hatanaka (6.9) dan Koki Nakamura (6.5).