Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Cameroon melakar kejutan terbesar Piala Dunia 2022 dengan menewaskan Brazil 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan G. Tetapi kemenangan tersebut tidak cukup membantu The Indomitable Lions daripada tersingkir dari Piala Dunia selepas Switzerland membenam cabaran Serbia dalam satu lagi aksi Kumpulan G.

Babak pertama menyaksikan Brazil mendominasi bola sebaik sepak mula. Tetapi percubaan Selecao ke arah gol Cameroon berlaku sekitar minit ke-14 menerusi Gabriel Martinelli. Bagaimanapun, percubaan penyerang Arsenal itu berjaya ditepis penjaga gol Abha, Devis Epassy. Penyerang Manchester United, Antony turut menguji Epassy pada minit ke-38 tetapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Cameroon itu. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Brazil mula diuji The Indomitable Lions menerusi percubaan pemain sayap Brentford, Bryan Mbeumo. Bagaimanapun, percubaan Mbeumo mudah diselamatkan oleh penjaga gol Manchester City, Ederson. Percubaan Mbeumo juga merupakan percubaan ke arah gol pertama dihadapi Brazil dalam edisi Piala Dunia kali ini.

Advertisements

Martinelli terus menjadi duri dalam daging pertahanan Cameroon dan menguji Epassy lagi pada minit ke-56. Sepakannya bukan saja berjaya ditangkis penjaga gol Abha itu tetapi ditolak melepasi palang gol. Seminit selepas itu, kesilapan Epassy hampir membawa kepada gol Brazil menerusi sepakan voli Eder Militao tetapi dia sempat mendapatkan semula bola.

Ederson kemudiannya dipaksa bekerja keras menafikan percubaan pemain tengah Swansea City, Olivier Ntcham pada minit ke-78. Sepakan jarak jauh graduan akademi Citizens itu berjaya diselamatkannya sekaligus menunjukkan Cameroon tiada keinginan untuk mengaku kalah begitu saja bila berdepan gergasi seperti Brazil.

Vincent Aboubakar Cameroon Piala Dunia 2022 Ben Jacobs Brazil Dikejutkan Cameroon Tapi Layak Ke Pusingan Kalah Mati
Vincent Aboubakar dibuang padang selepas kutip kad kuning kedua. Gambar: Ben Jacobs

Dengan Selecao buntu mencari gol, giliran The Indomitable Lions mencipta kejutan mendahului perlawanan menerusi kapten mereka Vincent Aboubakar pada minit ke-92. Satu hantaran dari sebelah kanan menyaksikan penyerang Al-Nassr itu menanduk masuk gol melepasi Ederson. Bagaimanapun, keterujaannya membuka baju meraikan jaringan membawa padah sekaligus dibuang padang seminit selepas itu. Ini selepas Aboubakar mengutip kad kuning kedua akibat tindakannya itu.

Advertisements

Brazil terus mengasak tetapi gagal menembusi Epassy dengan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Walaupun kalah, Selecao layak ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan G diiringi oleh Switzerland. Dengan Korea Selatan menanti sebagai lawan di pusingan seterusnya, pastinya Tite tidak mahu pisang berbuah dua kali sekiranya mahu Brazil layak ke suku akhir Piala Dunia 2022.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram