Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memilih Portugal sebagai calon juara Piala Dunia 2026.
Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya siapa calon juara kejohanan berprestij itu oleh pempengaruh badminton, Jack Plays Badminton baru-baru ini.
Meskipun mengakui beliau bukan peminat Piala Dunia, Zii Jia tidak teragak-agak memilih Portugal sebagai calon pilihan juara.
“Normalnya, saya bukan peminat Piala Dunia sebab saya lebih suka menonton Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Manchester United. Tapi kalau diminta memilih negara sebagai calon juara, saya pilih Portugal,” katanya.
Zii Jia mengakui pemilihan Portugal dibuat atas sebab legenda Manchester United, Cristiano Ronaldo mengetuai cabaran negara itu di Piala Dunia.
Meskipun sedar persembahan mereka kurang memuaskan dalam beberapa kejohanan besar, beliau tetap yakin Portugal mampu menyerlah.
“Saya tahu persembahan mereka sedikit (kurang memuaskan). Tetapi siapa tahu,” tambahnya.
Zii Jia ditemui Jack Plays Badminton semasa beraksi dalam saingan Canada Open baru-baru ini. Beliau berjaya mara ke peringkat separuh akhir kejohanan sebelum tewas kepada pemain Jepun, Riki Takei.
Meskipun tewas, Zii Jia melihat beliau semakin hampir kembali ke prestasi terbaiknya di atas gelanggang.