Cape Verde melakar satu lagi sejarah apabila layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.
Ini kerana menurut akaun Match of the Day BBC, mereka menjadi pendatang baharu pertama layak ke peringkat berkenaan sejak edisi 2010. Rekod tahun tersebut dilakar pasukan Eropah Timur, Slovakia.
Lebih menarik, Cape Verde mara ke peringkat kalah mati sebagai naib juara Kumpulan H. Meskipun hanya merekodkan tiga keputusan seri, itu sudah cukup buat anak buah Bubista mengiringi Sepanyol ke pusingan 32 pasukan terbaik.
Cape Verde turut membuktikan mereka bukan pasukan yang senang dibuli. Ini terbukti apabila mereka hanya dibolosi sebanyak dua kali dan merekodkan dua perlawanan tanpa bolos.
Atas sebab itu, ramai penyokong tidak sabar melihat pertembungan Cape Verde dan juara bertahan, Argentina di pusingan 32 pasukan terbaik di Miami.
Ini kerana Cape Verde memiliki rekod pertahanan yang kental meskipun berstatus pasukan bukan pilihan. Argentina pula dilihat tajam dengan Lionel Messi muncul penjaring terbanyak kejohanan setakat ini menerusi lima gol.
Justeru, pertembungan tersebut dilihat peluang buat penyokong menonton pertembungan menarik Argentina dan Cape Verde untuk merebut tiket pusingan 16 pasukan terbaik.