Cara Kerja Peter Cklamovski Mengejutkan
MakanBola
Malaysia NT

Kredibiliti, perwatakan dan cara kerja ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski buatkan seorang pemain Malaysia terkejut saat kali pertama sertai pasukan.

Skuad Harimau Malaya menerima pujian ramai pihak apabila memulakan kempen Kelayakan Piala Asia dengan cemerlang apabila meraih dua kemenangan bagi menerajui kumpulan F.

Ini termasuklah kejayaan menewaskan pencabar hebat skuad negara, Vietnam 4-0 di Bukit Jalil dengan gabungan tonggak warisan baharu seramai 5 orang dan juga pemain tempatan.

Kemenangan bergaya ini sekaligus membuka mata ramai pihak dengan keupayaan pasukan Harimau Malaya selain turut memuji corak permainan di bawah bimbingan Peter Cklamovski.

Salah seorang pemain warisan, Joao Figueiredo menilai Peter Cklamovski sebagai jurulatih yang sungguh bagus dan hebat hingga membuatkan beliau terkejut saat kali pertama tiba di Malaysia.

”Hari pertama saya di sini (Malaysia), saya berasa sungguh terkejut kerana beliau (Peter Cklamovski) seorang jurulatih yang bagus dan hebat,” kata Joao Figueiredo kepada Astro Arena.

Katanya lagi, cara kerja Peter Cklamovski telah memberikan suatu suasana yang positif di dalam kem kebangsaan ketika ini selain turut dilihat bijak mengatur taktikal bersama barisan jurulatih negara.

”Peter Cklamovski mahu kami meningkatkan prestasi dan selalu memberikan motivasi. Jadi kami berjuang buat beliau.”

”Ini adalah petanda baik apabila adanya jurulatih yang positif dan mengenai taktikal, beliau amat bagus,” tambah tonggak Istanbul Baseksehir itu lagi.

Peter Cklamovski dan barisan kejurulatihan menjalankan tugas dengan baik pada dua perlawanan pertama ini dan ujian seterusnya menanti Malaysia adalah berdepan Laos pada Oktober nanti.