Pemilik kelab Carabat FC, Sharnaaz Ahmad mengesahkan kelabnya bakal bersaing dalam saingan Liga Komuniti A3 2025.
Ini selepas beliau ditanya tentang penyertaan pasukan itu dalam saingan liga tersebut baru-baru ini. Pelakon Blood Brothers: Bara Naga itu percaya pasukannya sudah bersedia menyertai liga itu.
“Alhamdulillah, semua pemain sudah dalam keadaan bersedia untuk kita bermula pada bulan Jun ini, Insya Allah.
“Bagi saya, pemain sudah bersedia. Tapi tidak mengapa, ini cuma perlawanan pemanas badan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Sharnaaz ditemui selepas aksi persahabatan antara Carabat dan Regles All Star di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Carabat memiliki beberapa pemain berpengalaman yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M).
Antaranya bekas pemain Sri Pahang FC, Azidan Sarudin dan dua bekas pemain Kelantan FC, Qayyum Marjoni dan Irfan Haikal.