Bintang Brazil, Neymar mengakui merasa kecewa kerana terlepas panggilan menyertai skuad kebangsaan negara itu.
Reaksi kecewa bekas bintang Barcelona itu dikongsikan portal Sportbible. Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, Neymar memilih untuk tidak putus asa.
Sebaliknya, beliau mahu terus menunjukkan kemajuan jika mahu berada dalam senarai pemain yang akan beraksi di Piala Dunia 2026.
“Ancelotti, macam mana dengan saya? Senarai (pemain) skuad kebangsaan baru saja diumumkan. Kita tidak dipanggil. Sudah tentu kita sedih, itu yang saya katakan semalam. Saya akan sentiasa sokong skuad kebangsaan dan semuanya akan jadi baik.
“Sekarang masa untuk terus bekerja, terus memperbaiki setiap aspek dan jika ada peluang, buat persediaan. Saya kecewa anda tahu, saya kecewa. Sekarang saya kecewa tetapi bagi saya, itu sudah berlalu.
“Besok, saya kena berhenti merasa sedih. Saya kena kerja, berlatih dan bermain, jadi jika ada peluang untuk berada di Piala Dunia, saya bersedia,” katanya.
Neymar dilihat memanfaatkan kekecewaan itu dengan menjaringkan penalti untuk Santos ketika menentang Internacional pada Khamis.
Kali terakhir bekas bintang Al-Hilal itu mewakili Brazil ialah tahun 2023. Tahun itu menyaksikan Neymar mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) ketika menentang Uruguay.
Selain Neymar, jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti turut memilih untuk tidak memanggil bintang Tottenham Hotspur, Richarlison.
Bintang Brentford, Igor Thiago dan peledak Chelsea, Joao Pedro antara sandaran gol Brazil dalam kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kali ini.