Pemain bintang Al-Hilal, Neymar mengakui hari-hari yang beliau lalui sebelum ini penuh dengan seksaan dan memaksa beliau hanya menonton bola sepak tanpa beraksi.
Bagi Neymar, apa yang beliau mahukan dalam hidup adalah untuk bermain bola sepak dan berada di luar padang untuk satu tempoh yang lama sememangnya menyakitkan hati beliau sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
“Apa yang paling saya mahukan dalam hidup adalah bermain bola sepak. Saya telah menderita setiap hari ketika saya berada di luar padang. Ini yang paling menyakitkan hati saya,” jelas Neymar seperti dipetik Footboom.
Neymar yang mengalami kecederaan teruk iaitu ligamen anterior cruciate dan koyakan meniskus di kaki kirinya pada Oktober 2023 yang mana menyaksikan beliau terpaksa direhatkan untuk satu tempoh yang panjang.
Kini 12 bulan berlalu, Neymar telah kembali beraksi bersama Al-Hilal dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) bertemu Al-Ain pada 22 Oktober lalu. Al-Hilal menang 5-4 dalam perlawanan sengit itu.
Walau bagaimanapun, pengendali Al-Hilal, Jorge Jesus tidak mahu terburu-buru dalam menggunakan khidmat Neymar yang baru sahaja pulih daripada kecederaan jangka panjang.
Untuk aksi seterusnya, Al-Hilal akan bertemu Al-Taawoun dalam saingan Liga Profesional Saudi yang dijadualkan pada 27 Oktober.