Cerezo Osaka & Dion Cools Berpeluang Raih Hadiah RM750 Ribu
MakanBola
Cerezo Osaka

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools berpeluang membantu Cerezo Osaka meraih hadiah wang berjumlah 30 juta yen (RM747,000) untuk kempen J-League 1 musim ini.

Ini selepas Cerezo mengakhiri kempen J-League 1 Zon Barat di tempat kedua dengan 31 mata. Pencapaian itu dilakar dengan menewaskan Fagiano Okayama dalam aksi terakhir liga pada Ahad.

Yumeki Yokoyama menceriakan kem pelawat dengan membuka tirai jaringan seawal minit kelapan. Beliau menyudahkan hantaran Cools yang menewaskan penjaga gol Okayama, Taro Hamada.

Yokoyama kemudiannya menggandakan kelebihan Cerezo pada minit ke-56. Okayama kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol Leo Gaucho.

Anak buah Arthur Papas kemudiannya ceria apabila Satoki Uejo meledakkan gol kemenangan pada minit ke-81. Kemenangan itu sudah cukup buat Cerezo mengatasi cabaran Nagoya Grampus yang menduduki tangga ketiga.

Meskipun kedua-dua pasukan berkongsi 31 mata, Cerezo memiliki kelebihan dari segi jaringan. Itu sudah cukup buat kelab itu berentap dengan FC Tokyo untuk perlawanan penentuan tempat ketiga liga.

Ini kerana mengikut peraturan liga musim ini, dua pendahulu liga Zon Timur dan Barat akan berentap untuk menentukan kedudukan pertama dan kedua. Pasukan yang menduduki tangga kedua pula akan bersaing untuk merebut kedudukan ketiga dan keempat.

FC Tokyo menjadi lawan Cerezo kerana menduduki tangga kedua liga Zon Timur dengan 37 mata, lapan mata di belakang Kashima Antlers yang mengetuai liga tersebut.

Hadiah bagi juara, naib juara dan pasukan tempat ketiga liga musim ini cukup lumayan. Juara dan naib juara masing-masing menerima 150 juta yen (RM3.7 juta) dan 60 juta yen (RM1.5 juta).

Pasukan yang menduduki tempat ketiga akan mendapat 30 juta yen (RM747,000). Ini belum dicampur dengan dua juta yen (RM50,000) yang diterima bagi setiap mata yang diraih dalam fasa liga kedua-dua zon.

Selain itu, semua pasukan J-League 1 juga akan menerima yuran tambahan mengikut kedudukan akhir mereka dan ranking populariti.

Cerezo akan berentap dengan FC Tokyo dalam aksi pertama pada 30 Mei. Ini disusuli aksi timbal balik pada 7 Jun.

Cools dijangka menjadi aset penting Cerezo selepas menunjukkan prestasi cemerlang musim ini. Ini termasuk markah 7.1 yang diberi Sofascore selepas membantu kelab itu menewaskan Okayama.