Cerezo Osaka Kembali Menang, Dion Cools Kuasai Statistik Hantaran
MakanBola
Cerezo Osaka

Kualiti kapten Harimau Malaya, Dion Cools terserlah ketika membantu Cerezo Osaka menewaskan Shimizu S-Pulse dalam aksi terbaru J-League 1 pada 22 Ogos.

Selepas tewas 3-0 di tangan Avispa Fukuoka, Cerezo kembali bangkit dengan menewaskan Shimizu 1-0. Thiago Andrade muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-62.

Kualiti Cools dari segi hantaran terserlah ketika mengemudi benteng Cerezo. Bekas pemain pertahanan Buriram United itu berjaya melakukan hantaran tepat dengan 54 hantaran atau 78.3% menerusi statistik yang dikongsikan kelab itu.

Statistik ini turut disokong dengan data Sofascore. Cools merekodkan hantaran tepat dalam kawasan sendiri sebanyak 84% dan 58% untuk hantaran ke kawasan lawan.

Bekas pemain pertahanan FC Brugge itu turut memberi impak besar dari segi pertahanan. Selain berjaya mengeluarkan bola sebanyak lapan kali, Cools juga berjaya mendapatkan semula penguasaan bola sebanyak tujuh kali.

Lantas, tidak hairanlah mengapa kapten Harimau Malaya itu mendapat markah 7.2 atas persembahannya dalam perlawanan menentang Shimizu.

Dua lagi rakan sepasukan di bahagian pertahanan, Shinnosuke Hatenaka dan Rikito Inoue juga cemerlang dengan mendapat markah 7.2 dan 8.0.

Selepas tiga perlawanan, Cerezo kini mengutip enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan. Anak buah Pablo Machin kini tiga mata di belakang dua pasukan teratas liga, Kashiwa Reysol dan Kashima Antlers.

Selepas ini, Cools dan Cerezo akan mengharungi kempen Emperor’s Cup dengan menentang FC Gifu pada 26 Ogos.