Cerezo Osaka menamatkan kempen J-League 1 dengan tempat ketiga apabila menewaskan FC Tokyo 5-3 secara agregat untuk perlawanan penentuan tempat ketiga.
Selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi pertama, Cerezo dan FC Tokyo tahu hanya kemenangan yang dapat menjamin peluang mereka meraih tempat ketiga.
Cerezo cemas seketika apabila dibolosi pada minit kelapan menerusi pemain sayap tuan rumah, Kein Sato. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas disemak pembantu video pengadil (VAR).
Dua minit selepas itu, Cerezo membuka tirai jaringan menerusi Shion Honma. Solomon Sakuragawa menyumbat dua gol bagi memastikan kelab itu mendahului 3-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Ryunosuke Sato merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-62. FC Tokyo cuba mengurangkan defisit gol tetapi barisan pertahanan Cerezo diketuai kapten Harimau Malaya, Dion Cools memastikan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Cerezo bukan saja menamatkan musim di tempat ketiga secara keseluruhan. Malah, kelab yang dibimbing Arthur Papas itu mendapat hadiah 30 juta yen (RM747,000).
Ini belum dicampur dengan dua juta yen (RM50,000) yang diterima bagi setiap mata yang diraih dalam fasa liga kedua-dua zon.
Selain itu, semua pasukan J-League 1 juga akan menerima yuran tambahan mengikut kedudukan akhir mereka dan ranking populariti.
Persembahan Cools mengemudi benteng Cerezo turut mendapat pengiktirafan Sofascore. Bekas tonggak Buriram United itu mendapat markah 7.7.