Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menitipkan pesanan bermakna buat pemain sayap negara, Faisal Halim.
Tonggak berusia 27 tahun itu kembali ke kem kebangsaan selepas 364 hari setelah kali terakhir beraksi menentang Oman pada tahun 2024.
Beliau diberikan peluang oleh pengendali baharu, Peter Cklamovski dan masuk sebagai pemain gantian ketika membantu Malaysia untuk menundukkan pasukan ke-175 dunia, Nepal dengan keputusan 2-0.
Kepulangan Faisal bukan sahaja mengubat kerinduan peminat bola sepak tanah air malah mendapat perhatian peminat seluruh dunia selepas FIFA memuat naik hantaran berkenaan pemain sayap negara itu.
“Selamat kembali Faisal Halim,” ujar hantaran di FIFA World Cup.
Malaysia kini dalam fasa penting untuk melayakkan diri secara merit ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi buat kali kedua berturut-turut.
Harimau Malaya berdepan ujian getir apabila bakal bertemu jaguh Asia Tenggara, Vietnam pada aksi di laman sendiri, 10 Jun 2025 ini.
Skuad kebangsaan difahamkan dalam perancangan untuk mengadakan dua aksi persahabatan sebelum menentang juara Piala AFF 2024 itu.