Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon bakal mengucapkan selamat tinggal kepada arena kompetitif badminton pada Mei 2024.
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Syifa Nasir yang berkata kejohanan Malaysia Masters pada Mei akan datang bakal menjadi kejohanan terakhir beliau.
Selepas menabur bakti sejak 2006, Chan Peng Soon umum gantung raket dengan menjadikan Malaysia Masters pada Mei sebagai pentas terakhir buatnya”, tulis Syifa di laman X miliknya.
Chan Peng Soon merupakan atlet badminton Malaysia yang sudah mengharumkan nama negara dalam pelbagai kejohanan sejak 2006.
Walau bagaimanapun, pemain berusia 36 tahun itu masih lagi akan bertanding pada kejohanan Terbuka Malaysia yang bermula pada 9 Januari ini bersama pasangannya terkini, Cheah Yee See.
Berita persaraan ini pasti menghibakan buat para peminat badminton tanah air memandangkan gandingannya bersama Goh Liu Ying yang bersara pada awal 2023 suatu ketika dahulu banyak menyumbang kepada kejayaan negara.
Antara pencapaian terbaik beliau ialah memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada tahun 2016, pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 dan beberapa siri Jelajah Dunia BWF yang kesemuanya dimenangi bersama Goh Liu Ying.