Rekod pertemuan lalu tidak menghalang pemain perseorangan Jepun, Kenta Nishimoto daripada menyingkirkan Lee Zii Jia di pentas suku akhir China Masters 2023.
Kekalahan ini memusnahkan harapan anak jati Alor Setar, Kedah itu untuk mara ke separuh akhir keempat kejohanan BWF untuk tahun 2023.
Zii Jia dianggap pilihan untuk perlawanan hari ini kerana beberapa kali menewaskan Nishimoto dalam beberapa pertemuan sebelum ini.
Set pertama menyaksikan Zii Jia bergelut mengejar Nishimoto. Juara Spain Masters 2023 itu pada satu ketika jauh mendahului pada kedudukan 17-8.
Biarpun kedudukan tersebut cuba dikejar pemain perseorangan lelaki utama Malaysia itu, Nishimoto kekal tenang dan menang dengan keputusan 21-11.
Situasi ini mendorong Zii Jia untuk memberi saingan lebih sengit pada set kedua. Pada satu ketika, kedua-duanya hanya dipisahkan satu mata dengan kedudukan 8-7,
Bagaimanapun, Nishimoto yang berstatus pemain nombor 13 dunia itu terus dominan sebelum meraih kemenangan 21-12.
Pemain Jepun itu bakal menentang sama ada pemain China, Zhao Junpeng atau pemain Taiwan, Lin Chun-yi di pentas separuh akhir.