Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan rakan senegara, Ng Tze Yong dalam pusingan pertama China Masters 2023.
Selepas kali terakhir bertemu di pentas final Terbuka Artik 2023, Tze Yong pastinya mahu mengubah rekod pertemuan mereka hari ini.
Ini kerana anak jati Alor Setar, Kedah itu sudah dua kali menafikan cita-cita pemain nombor 14 dunia itu.
Set pertama menyaksikan Zii Jia berjaya mengawal permainan sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-15.
Bagaimanapun, skrip berbeza berlaku pada set kedua. Tze Yong memberi tentangan sengit kepada Zii Jia sebelum mendahului pada kedudukan 15-13.
Walaupun berjaya mengikat kedudukan 20-20, anak jati Johor Bahru itu kekal tenang sebelum meraih kemenangan 22-20. Keputusan ini menyaksikan perlawanan diheret ke rubber set.
Set ketiga menyaksikan kedua-dua pemain bersaing sengit mendapatkan mata. Begitupun, beberapa kesilapan yang dilakukan Zii Jia membuka ruang kepada Tze Yong mendahului pada kedudukan 11-9.
Bagaimanapun, juara Terbuka Artik 2023 itu berjaya mengejar sebelum mendahului pada kedudukan 19-16. Dan itu cukup buat Zii Jia meraih kemenangan dengan keputusan 21-17.
Pemain nombor 11 dunia itu bakal turun menentang Lu Guangzu dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung esok.