Chrigor Moraes Hampir Pasti Kekal Di Selangor
MakanBola
Selangor FC

Penjaring terbanyak Selangor FC musim lalu, Chrigor Moraes dilihat semakin hampir kekal bersama pasukan itu untuk musim hadapan.

Ini selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan penyerang Brazil itu akan kekal bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Fadhirul turut berkongsi statistik yang direkodkan Chrigor dalam semua kejohanan pada musim 2025/26. Beliau merekodkan 49 penampilan, 42 gol dan 11 bantuan gol.

Musim sama turut menyaksikan Chrigor merekodkan hatrik sebanyak lima kali. Rekod 42 gol itu turut membantu beliau memintas rekod 39 gol yang dicipta legenda Indonesia, Bambang Pamungkas pada musim 2005.

Sekiranya perkara ini disahkan pengurusan Selangor, ini akan menamatkan desas-desus tentang status Chrigor bersama pasukan itu. Ini kerana beberapa kelab besar ASEAN sebelum ini dilaporkan berminat mendapatkan beliau.

Kehadiran Chrigor juga dijangka membantu perancangan jurulatih Selangor, Kim Pan-gon untuk menghadapi musim 2026/27 dengan lebih cemerlang.

Ini selepas Selangor terlepas peluang layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Shopee Cup kerana menduduki tempat ketiga liga musim lalu. Kedua-dua slot tersebut diambil Kuching City FC selaku naib juara Liga Super.