Prestasi kurang memuaskan skuad Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-17 mendorong pengurus pasukan, Christopher Raj meletak jawatan.
Perkara ini disahkan sendiri beliau menerusi satu hantaran panjang lebar di Instagram. Christopher merasakan ini masa terbaik untuk muka baru untuk menggalas tanggungjawab membawa skuad muda negara ke hadapan.
“Sehubungan itu, saya selaku pengurus pasukan mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini dengan mengundur diri dan melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B-17 serta merta.
“Melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B-17 ini adalah jalan yang terbaik untuk membuka peluang kepada muka baharu menggalas tanggungjawab membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi sehingga mencapai misi ke Piala Dunia,” katanya.
Sebelum ini, Christopher yang juga Exco Komunikasi dan Media FAM memaklumkan beliau sedia meletak jawatan seandainya skuad muda Malaysia gagal layak ke Piala Asia B-17 buat kali ketujuh.
Malaysia gagal layak ke Piala Asia B-17 2025 apabila sekadar seri 2-2 dengan Laos dalam aksi terakhir Kumpulan H.
Keputusan seri tersebut menggagalkan hajat Malaysia untuk mengikut jejak Thailand, Indonesia dan Vietnam yang layak ke kejohanan berkenaan.
Thailand layak selaku juara Kumpulan D. Manakala rekod tanpa kalah Indonesia dan Vietnam membantu kedua-dua pasukan itu layak selaku naib juara terbaik kumpulan.