Cristiano Ronaldo Balas Kenyataan Kakak Sendiri
MakanBola
Portugal

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo akan membuat keputusan tentang persaraan pada masa yang sesuai.

Perkara ini ditegaskan beliau susulan kakaknya, Katia Aveiro mendakwa Ronaldo akan bersara selepas tamat kempen Piala Dunia 2026.

Ini kerana pada hemat Ronaldo, beliau tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan tentang masa depannya bersama Portugal. Sebarang keputusan akan dibuat selepas tamat kempen kejohanan berprestij itu.

“Saya tak buat keputusan terburu-buru. Saya akan putuskan (masa depan bersama Portugal) selepas kejohanan, bukan sekarang,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Ronaldo turut memberi penghormatan kepada bekas rakan sepasukan di Real Madrid dan kapten Croatia, Luka Modric selepas tamat perlawanan pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia antara kedua-dua pasukan.

“Saya bermain bersama Modric selama bertahun-tahun, gembira melihat beliau masih bermain di tahap tertinggi,” katanya lagi. “Saya beritahu dia, ‘Tahniah, Luka, selamat berjaya untuk masa depan karier anda.'”

Portugal akan bertemu Sepanyol di pusingan seterusnya selepas menewaskan Croatia 2-1. Penalti Ronaldo dan gol lewat Goncalo Ramos memastikan tiket pusingan 16 pasukan terbaik milik Portugal.