Cristiano Ronaldo Jadi Pemegang Saham Al-Nassr
MakanBola
Al-Nassr FC

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo kini menjadi sebahagian daripada pemegang saham kelabnya, Al-Nassr.

Pemilikan saham kelab sebanyak 15% itu merupakan sebahagian daripada insentif kontrak baru beliau sehingga tahun 2027 yang dilaporkan Daily Mail.

Perjanjian ini menyaksikan Ronaldo memegang saham berjumlah £33 juta (RM191 juta). Selain itu, beliau turut menerima bonus £24.5 juta (RM142 juta) selepas menandatangani kontrak baru tersebut.

Ronaldo juga menerima gaji sebanyak £488,000 (RM2.8 juta) sepanjang tempoh dua tahun seterusnya bersama Al-Nassr. Beliau turut menerima tawaran menjadi duta pelancongan Arab Saudi.

Pemilikan saham Al-Nassr memperlihatkan perancangan Ronaldo apabila bersara dari dunia bola sepak. Tidak seperti legenda lain yang memilih media atau dunia kejurulatihan, beliau lebih cenderung menjadi pemilik kelab.

Malah, pada satu ketika, Ronaldo juga dikaitkan dengan spekulasi pengambilalihan pemilikan kelab LaLiga, Valencia.

Kontrak baharu ini turut menyaksikan legenda Manchester United itu berpeluang melengkapkan misi 1,000 gol dalam kariernya. Ronaldo kini hanya perlu menjaringkan 44 gol untuk melengkapkan misi tersebut.

Pengumuman kontrak baharu ini menyusul selepas beliau menyatakan kesediaan untuk kekal bersama Al-Nassr.