Cristiano Ronaldo: Saya Kembali
MakanBola
Portugal

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo membuktikan dirinya masih berbisa di depan gol.

Sebelum ini, ramai orang termasuk peminat meragui sama ada Ronaldo masih lagi berbisa atau tidak. Ini susulan persembahan hambar beliau dalam aksi pertama Kumpulan K menentang Republik Demokratik Congo (DR Congo).

Lantas, Ronaldo menjawabnya dengan cara yang terbaik iaitu dua gol dalam aksi kedua kumpulan menentang Uzbekistan. Sebaik saja beliau meledakkan gol pertama Portugal, legenda Manchester United itu menjerit ‘Saya kembali’ di depan lensa kamera.

Portugal meraih kemenangan bergaya 5-0. Selain Ronaldo, Nuno Mendes dan Rafael Leao mencetak nama sebagai penjaring dengan Abduvohid Nematov menjaringkan gol sendiri.

Apabila ditanya tentang maksud di sebalik kata-kata berkenaan, Ronaldo melihat itu cara terbaik mengingatkan para pengkritik bahawa dirinya masih berbisa.

“Itu saja cara mereka (para pengkritik) tidak lupa – 23 tahun (menjaringkan gol) seperti ini. Saya gembira tetapi perkara paling penting ialah kerja keras yang dilakukan satu pasukan dan keyakinan yang diraih untuk kami,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Turut senada dengan Ronaldo ialah jurulatih Uzbekistan, Fabio Cannavaro. Legenda Itali itu melihat faktor umur langsung tidak menjejaskan bisa penyerang berusia 41 tahun itu di depan gol.

“Anda datang ke Piala Dunia dan tunjukkan bahawa apabila anda berumur 41 tahun, anda masih memiliki keazaman dan boleh melakukan banyak perkara.

“Anda tidak lupa cara bermain bola sepak. Beliau sebahagian daripada sejarah Piala Dunia. Bola sepak bukan sahaja di Eropah, ia terbuka kepada seluruh dunia. Tiada lagi sempadan.

“Cristiano masih merupakan salah seorang pemain terkuat dalam sejarah bola sepak. Jika anda memberinya satu sentimeter (cm) di dalam kotak penalti, anda berdepan masalah,” katanya.

Kemenangan ini menyaksikan Portugal menerajui Kumpulan K dengan empat mata. Meskipun begitu, kedudukan kumpulan boleh berubah apabila Colombia dan DR Congo akan berentap dalam satu lagi aksi kumpulan.