Portugal merekodkan kemenangan pertama di pentas Piala Dunia FIFA selepas membelasah Uzbekistan hasil sentuhan magis Cristiano Ronaldo.
Selepas tampil hambar terikat 1-1 minggu lalu, Portugal kembali menebus kehampaan dengan kemenangan bertenaga 5-0 ke atas Uzbekistan tatkala Cristiano Ronaldo mencuri tumpuan apabila melakar sejarah baharu Piala Dunia.
Gandingan Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes kekal menjadi taruhan Portugal meskipun mendapat kritikan ramai sebelum ini manakala bintang Manchester City, Abdukodir Khusanov bakal menggalas peranan utama di benteng Uzbekistan.
Stadium di Houston bergema ketika sepakan voli Cristiano Ronaldo seawal minit ke-6 berjaya menembusi gawang Uzbekistan sekali gus mencipta satu rekod baharu sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam 6 edisi Piala Dunia.
Momentum bertenaga itu diteruskan lagi selepas sepakan percuma bek kiri, Nuno Mendes terus menewaskan penjaga gawang Uzbekistan, Abduvokhid Nematov bagi meletakkan Portugal selesa mendahului permainan 2-0 pada minit ke-17.
Cristiano Ronaldo sekali lagi melakar nama selaku penjaring pada minit ke-39 selepas bintang Al-Nassr itu bijak menerima umpanan Bruno Fernandes sebelum melepaskan rembatan mudah untuk jaringan kedua peribadi di aksi ini.
Sejam bermain, pintu gol Uzbekistan bocor lagi hasil kesilapan pertahanan, Abdukodir Khusanov yang tertampan bola masuk ke dalam gawang sendiri selepas terjadinya situasi kelam kabut di dalam kotak penalti antara pemain-pemain.
Pemain gantian, Raphael Leao melengkapkan kemenangan besar Portugal ketika aksi berbaki 3 minit lagi untuk dimainkan dan memberikan 3 mata pertama kepada pasukan bimbingan Roberto Martinez pada edisi 2026 ini.
Pertarungan di Houston, USA berakhir dengan kemenangan 5-0 memihak Portugal sekali gus mencerahkan peluang wakil Eropah itu melangkah ke pusingan kalah mati tatkala Uzbekistan terpaksa akur tersingkir di peringkat kumpulan.
Saingan kumpulan K bakal bersambung dengan aksi terakhir pada 28 Jun hadapan menemukan Portugal serta Colombia sementara Uzbekistan pula akan turun menghadapi tentangan negara dari benua Afrika, DR Congo.