Portugal terpaksa akur terikat seri menentang DR Congo dalam perlawanan pertama Piala Dunia FIFA 2026
Keputusan seri 1-1 menyaksikan impian Portugal untuk membuka kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan tidak membuahkan hasil tatkala DR Congo pula berjaya melakar sejarah pada pertembungan kumpulan kali ini.
Kelibat Cristiano Ronaldo yang bakal melakukan penampilan ke-6 di Piala Dunia menjadi tumpuan dalam kesebelasan utama Portugal sementara DR Congo menurunkan bintang EPL antaranya Aaron Wan-Bissaka dan Yoane Wissa.
Turun berjersi serba merah, Portugal bermula cukup garang untuk berada di hadapan seawal minit ke-6 permainan setelah tandukan Joao Neves berhasil menembusi jaring DR Congo dan menewaskan Lionel Mpasi Nzau buat kali pertama.
Kesilapan Portugal semasa situasi bola mati memakan diri sendiri apabila Yoane Wissa berjaya melakukan tandukan bebas tanpa dikawal yang terus menerjah ke dalam gawang Diogo Costa sejurus sebelum babak pertama ini berakhir.
Kemasukan beberapa pemain serangan seperti Conceicao, Raphael Leao dan Goncalo Ramos juga tidak mendatangkan hasil yang lumayan ketika Portugal tampak buntu untuk memecahkan kekebalan benteng DR Congo.
Keputusan penuh menyaksikan Portugal dan DR Congo terikat seri 1-1 sekali gus menghadiahkan mata pertama buat wakil Afrika itu di pentas Piala Dunia.
Saingan kumpulan K bakal diteruskan lagi dengan aksi melibatkan Portugal dan negara dari Asia, Uzbekistan pada 24 Jun hadapan manakala DR Congo dijadualkan turun bertemu Colombia di hari yang sama.