Seorang pemain Republik Demokratik Congo (DR Congo) menyifatkan legenda Portugal, Cristiano Ronaldo tidak lagi berbisa seperti dahulu.
Pandangan itu dibuat pemain tengah muda Lille, Ngal’ayel Mukau apabila ditanya bagaimana beliau dapat mengawal penyerang berusia 41 tahun itu.
Mukau mendedahkan beliau tidak memiliki pelan khas tentang cara mengawal pergerakan legenda Manchester United itu ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pertama Kumpulan K Piala Dunia 2026.
Meskipun mengagumi karier Ronaldo, Mukau menyifatkan faktor usia menyebabkan legenda Portugal itu tidak berbisa seperti dulu.
“Pelan khas untuk kawal Cristiano Ronaldo? Sejujurnya tidak. Kita tahu beliau tak sama seperti dulu. Beliau kini sedikit berusia.
“Meskipun begitu, beliau masih salah satu pemain terbaik sepanjang zaman. Rasa hormat kepada beliau,” katanya seperti dilaporkan TNT Sports BR.
Hal ini tidak dibantu dengan kemarau jaringan Ronaldo dalam kejohanan antarabangsa. Selepas perlawanan menentang DR Congo, beliau masih buntu mencari penyudah gol dalam 10 perlawanan.
Atas sebab itu, sudah ada suara-suara yang mahu Ronaldo digugurkan dari kesebelasan utama dan diletakkan di bangku simpanan.
Meskipun begitu, pengurus Portugal, Roberto Martinez terus setia memberi sokongan kepada beliau untuk menamatkan rekod buruk tersebut.
“Ia satu perkara tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring terbaik dalam dunia bola sepak apabila anda memerlukan gol,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Aksi Portugal menentang DR Congo menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.