Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo terus kempunan mendapatkan trofi di pentas Asia baik dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) atau Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
SNE Sports melaporkan ini kali ketiga penyerang veteran berusia 41 tahun itu terlepas peluang menggondol trofi di peringkat Asia.
Hal ini berlaku apabila Al-Nassr tumbang mengejut 1-0 di tangan kelab Jepun, Gamba Osaka dalam aksi final ACL2 di Riyadh, Arab Saudi.
Penyerang Turkiye, Deniz Hummet muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Gamba pada separuh masa pertama.
Meskipun dibarisi ramai pemain berkaliber seperti Ronaldo, Sadio Mane, Joao Felix dan Inigo Martinez, Al-Nassr gagal mengubah keputusan itu sehingga wisel penamat.
Selain terlepas trofi ACL2, Ronaldo juga terlepas bergelar juara ACLE sebanyak dua kali. Ini kerana Al-Nassr tersungkur di peringkat suku akhir musim 2023/24 di tangan juara musim tersebut, Al-Ain.
Musim 2024/25 pula menyaksikan Al-Nassr dan Ronaldo dihampakan Kawasaki Frontale di peringkat separuh akhir.
Kedua-duanya berharap kekecewaan ini tidak menggugat peluang bergelar juara Saudi Pro League (SPL). Hasrat Al-Nassr bergelar juara lebih awal musnah apabila diikat Al-Hilal 1-1.
Ronaldo masih berpeluang menjulang kejuaraan liga dengan syarat mereka menewaskan Damac FC dalam aksi terakhir pada 21 Mei ini.