DPMM FC akhirnya berjaya mendapatkan khidmat peledak Brazil, Dalberto Luan Belo.
Perpindahan bekas penyerang Arema berusia 31 tahun itu disahkan pengurusan DPMM menerusi satu kenyataan ringkas di laman sesawang rasmi kelab itu.
“DPMM FC telah memeterai kontrak dengan bekas pemain Arema FC, Dalberto Luan. Beliau menjaringkan 34 gol sepanjang kempen Liga 1 Indonesia musim 2024/25 dan 2025/26,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, DPMM terpaksa menelan kepahitan apabila gagal mendapatkan khidmat Dalberto. Ini selepas bekas penyerang Madura United itu dilaporkan telah mendapat tawaran kelab lain.
Meskipun begitu, kelab Brunei itu tidak berputus asa dan akhirnya berjaya mendapatkan sasaran mereka. DPMM melihat Dalberto sebagai solusi untuk isu penyudah tumpul yang dihadapi pasukan itu.
Penyerang Brazil itu menjadi tonggak import terbaru menyertai DPMM. Beliau menyertai empat lagi tonggak import iaitu Ebenezer Aban, Mohammad Toha, Clark Robertson dan Oscar Santis.
Santis menyertai kelab itu secara pinjaman dengan Aban, Robertson dan Toha pula menyertai kelab secara tetap.