DPMM FC dilihat semakin hampir mendapatkan bek tengah kebangsaan Ghana, Ebenezer Abban.
Ini selepas pengurusan DPMM memaklumkan kem Abban semakin hampir mencapai persetujuan untuk menyertai kelab itu pada musim hadapan.
“Status DPMM FC untuk mendapatkan Ebenezer Abban kelihatan bagus dengan kedua-dua pihak (semakin hampir) mencapai persetujuan perjanjian yang hebat.
“Abban bakal menjadi pemain baharu kedua untuk DPMM FC,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Sekiranya semua proses berjalan lancar, Abban bakal menjadi pemain baharu kedua DPMM selepas Oscar Santis. Pemain sayap Guatemala itu menjadi pemain import pertama yang didapatkan kelab Brunei itu untuk musim 2026/27.
Abban dilihat antara pemain yang dapat memperkuatkan benteng DPMM. Ini kerana pasukan itu dibolosi sebanyak 57 kali dalam liga musim ini.
Beliau turut membuat penampilan kedua bersama Ghana dalam aksi persahabatan menentang Mexico baru-baru ini. Ini dilihat sebahagian daripada persiapan pasukan Afrika itu menghadapi Piala Dunia 2026.
Selain itu, DPMM juga kelihatan yakin untuk mengekalkan bekas pemain pertahanan Perak FC, Tommy Mawat Bada untuk semusim lagi.
Tommy Mawat menyertai kelab itu secara pinjaman untuk musim 2025/26 dari Kuala Lumpur City FC (KL City FC). Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan beberapa kelab berminat mendapatkan khidmat beliau selepas tamat tempoh pinjaman bersama DPMM.
Meskipun begitu, DPMM tetap yakin untuk mengekalkan khidmat Tommy. Selain beliau, DPMM juga mahu mengekalkan Miguel Oliveira dan Amani Aguinaldo.