Danial Amier Milik Terengganu Secara Tetap
MakanBola
Terengganu FC

Bekas jeneral tengah Kuching City FC, Danial Amier Norhisham sah menyertai Terengganu FC.

Perpindahan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu video di semua platform rasmi mereka.

Penghijrahan Danial Amier yang mesra disapa Boy itu turut mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini.

Terengganu Football Club (Terengganu FC) dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain tengah berpengalaman, Muhammad Danial Amier bin Norhisham, bagi memperkuatkan skuad TFC untuk menghadapi saingan musim 2026/2027.

“Pemain berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak selama satu musim bersama Terengganu FC selepas beraksi bersama Kuching City FC dan turut memiliki pengalaman di pentas tertinggi bola sepak tempatan.

“Selain itu, Danial Amier juga merupakan pemain kebangsaan Malaysia yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Danial Amier menjadi rekrut kedua Peteh selepas pemain tengah Filipina, Manuel Ott. Ott kembali mewarnai Liga Malaysia (Liga M) selepas beraksi di Thai League 1 bersama Rayong FC.

Danial Amier bukan satu-satunya pemain Kuching City yang menyertai pasukan yang diberi jolokan Sang Penyu itu. Beliau dijangka disertai bekas rakan sepasukan dan penyerang naturalisasi negara, Jordan Mintah.

Mintah bukan asing dengan Peteh kerana beraksi di Terengganu dari 2020 hingga 2023. Beliau kemudiannya menabur bakti bersama Kuching City selama dua musim.

Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, Mintah bakal kembali bekerjasama dengan jurulatih baharu Peteh, Nafuzi Zain buat kali kedua.