Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting berpotensi memenangi anugerah Gol Terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2025/26.
Ini berdasarkan semakan terbaru undian gol tersebut di laman sesawang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Semakan itu menyaksikan Daniel menerajui undian dengan 59.69%.

Pemain berusia 34 tahun itu diekori rapat pemain Esteghlal FC, Jasir Asani. Bekas tonggak import Gwangju FC itu berada di tempat kedua dengan 27.51%.
Penyerang Gamba Osaka, Deniz Hummet menduduki tempat ketiga dengan 11.35%. Peminat bola sepak Malaysia masih ada peluang untuk mengundi gol terbaik ACL2 termasuk Daniel sehingga Khamis, 5.00 petang.
Gol pemain Ratchaburi FC itu antara lapan gol yang terpilih untuk pencalonan anugerah berkenaan. Daniel menjaringkan gol tersebut dalam aksi suku akhir pertama menentang Gamba pada Mac lalu.
Menariknya, itu juga satu-satunya gol beliau bersama Ratchaburi selepas menyertai kelab itu pada Januari lalu.
Sekiranya kedudukan ini kekal, Daniel bakal mengikut jejak rakan senegara, Faisal Halim. Nama Faisal menjadi sebutan apabila memenangi anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023.