Gol pemain pertahanan kebangsaan, Daniel Ting ketika menentang Gamba Osaka di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) kembali menjadi sebutan.
Ini kerana gol tersebut antara lapan calon yang dipilih Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk Gol Terbaik ACL2 musim 2025/26.
Daniel membuatkan penyokong Gamba tergamam dengan melepaskan rembatan lencong yang tepat menerjah bahagian kanan gawang pasukan Jepun itu.
Menariknya, itu juga satu-satunya gol pemain berusia 34 tahun itu bersama Ratchaburi selepas menyertai kelab itu pada Januari lalu.
Daniel berdepan cabaran tujuh calon lain yang turut memiliki gol menakjubkan. Antaranya bekas bintang Paris Saint-Germain (PSG), Julian Draxler, bekas bintang Gwangju FC, Jasir Asani dan penyerang veteran Thailand, Teerasil Dangda.
Penyerang Gamba, Deniz Hummet, Joel Beya (Al-Khaldiya SC), Angelo (Al-Nassr) dan Jorge Teixeira (Pohang Steelers) melengkapkan senarai calon gol yang terpilih.
Peminat bola sepak negara yang ingin mengundi Daniel boleh berbuat demikian dengan melayari laman sesawang AFC. Undian dibuka sehingga 4 Jun, jam 5.00 petang.