Pemain warisan Malaysia, Josh Robinson memilih untuk kekal beraksi di England.
Ini selepas bekas graduan akademi Arsenal itu memilih menyertai kelab divisyen enam England, Kidderminster Harriers.
Perpindahan pemain berusia 21 tahun itu diumumkan pengurusan kelab itu menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
“Harriers telah menambah muka baharu ketiga dalam skuad dengan menandatangani bekas pemain Arsenal dan Wigan, Josh Robinson,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum menyertai Kidderminster, Robinson menyertai The Latics pada Januari lalu. Walau bagaimanapun, beliau memilih meninggalkan kelab pada Mac lalu.
Keputusan tersebut dibuat selepas Robinson tidak merekodkan sebarang penampilan akibat kecederaan.
Sentuhan beliau dijangka ditagih jurulatih Kidderminster, Adam Murray untuk membantu kelab itu terus merebut kelompok empat teratas liga.