Bukan sekali penyokong Kelantan FC mendengar rancangan pengurusan pasukan memiliki sebuah pusat latihan sendiri. Kini, Dato’ Seri Vida membentangkan rancangan pusat latihan di mana pusat latihan itu akan dibina di tanah miliknya.
Ini merupakan sebahagian daripada perancangan rapi beliau untuk memajukan Kelantan FC sekiranya proses pengambilalihan pasukan berjalan lancar.
Jika pemilik pasukan ketika ini, Norizam Tukiman atau Zamsaham bersetuju dengan nilai pembelian yang dikemukakan, Dato’ Seri Vida menjangkakan pembangunan pusat latihan The Red Warriors (TRW) akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Seterusnya; bina padang latihan. Saya akan gunakan pengaruh saya sebagai anak jati Kelantan bagi membangunkan pusat latihan khas untuk TRW pada tahun 2024.
“Saya juga sudah mempunyai tanah di Kelantan untuk dibangunkan bagi tujuan pembangunan bola sepak Kelantan,” katanya kepada MakanBola.
Selain pusat latihan baru, Dato’ Seri Vida juga berikrar membawa masuk pemain-pemain import bernama besar, menyelesaikan tunggakan hutang, menjaga kebajikan pasukan, merencana pembangunan akademi akar umbi dan menukar rumput padang Stadium Sultan Muhammad IV.
Ini bukan saja tanda kesungguhan beliau untuk mengambil alih TRW daripada Zamsaham. Malah, ini juga keinginan Dato’ Seri Vida untuk mengembalikan kegemilangan Kelantan FC.