Advertisement
Debut Ong Kim Swee Di Liga 1 Indonesia Berakhir Dengan Satu Mata
Asia Tenggara
MakanBola
Persis Solo FC

Impian Ong Kim Swee untuk mencatat kemenangan pada aksi pertama bersama Persis Solo dalam saingan Liga 1 Indonesia tidak kesampaian apabila terikat seri pada Selasa.

Ong Kim Swee mengumumkan perpisahan bersama Sabah pada November lalu menerusi satu hantaran di Instagram setelah mengendalikan Sang Badak sejak musim 2021.

Selama membimbing Sabah, Kim Swee berjaya membantu The Rhinos menghuni tempat ke-3 Liga Super dalam tiga musim berturut-turut dan membawa pasukan ke AFC Cup 2023.

Pemergian Kim Swee membawa kepada penghijrahan ke negara jiran, Indonesia dengan Persis Solo dipilih sebagai destinasi baharu buat bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.

Tugasan pertama Kim Swee bersama Persis Solo yang ketika ini menghuni tangga ke-16 liga adalah bertemu Barito Putera dalam saingan Liga 1 Indonesia pada Selasa.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Manahan itu, Ong Kim Swee menurunkan barisan terbaik dengan Ramadhan Sananta dan Moussa Sidibe mengetuai jentera serangan Persis Solo.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang jaringan yang terhasil sepanjang aksi berlangsung sekaligus menafikan hasrat Kim Swee meraih 3 mata dalam aksi debut bersama Persis Solo di Liga 1 Indonesia.

Selepas ini, Kim Swee bersama Persis Solo akan mengalihkan tumpuan kepada perlawanan liga seterusnya iaitu berdepan Persita Tangerang pada Ahad di Stadium Pakansari Bogor.