Pengurus Manchester City, Pep Guardiola merasakan dirinya tidak cukup bagus susulan kekalahan terbaru kelab itu di tangan Manchester United.
City terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 2-1 kepada musuh setempat mereka di Stadium Etihad. Josko Gvardiol memberi kelebihan awal kepada The Citizens pada babak pertama.
Walau bagaimanapun, penalti Bruno Fernandes dan gol lewat Amad Diallo memastikan City tewas buat kali kelapan dalam 11 perlawanan.
Situasi ini nyata merungsingkan jurulatih Sepanyol berusia 53 tahun itu. Ini kerana City seolah-olah tiada jawapan terhadap kemerosotan prestasi yang dihadapi sejak kebelakangan ini.
“Saya tak cukup bagus. Saya pengurus, saya yang perlu mencari solusinya dan setakat ini, saya belum menemuinya.
“Kita mahu bermain dengan lebih baik tetapi buat masa ini, itu tidak mungkin,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan The Citizens kini di tangga kelima liga dengan 27 mata, satu mata di belakang Nottingham Forest. Forest menghuni kedudukan keempat yang juga kedudukan terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Selepas ini, City bakal berdepan Aston Villa untuk aksi liga seterusnya pada 21 Disember ini.