Bek tengah Harimau Malaya, Dion Cools kempunan menambah koleksi trofinya bersama Buriram United selepas juara treble itu tewas 2-0 kepada Bangkok United dalam perlawanan Thailand Champions Cup hari ini.
Selepas dikecewakan Thunder Castle pada aksi final Thai FA Cup dan bergelar naib juara Thai League 1 musim lepas, Bangkok Angels yang dibimbing Tochtawan Sripan tidak mahu kecewa lagi.
Babak pertama menyaksikan Bangkok United meraih kelebihan awal menerusi Willen Mota pada minit kelapan selepas menerima hantaran Rungrath Poomchantuek.
Tersentak, Buriram yang dibimbing Masatada Ishii cuba mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Ishii memasukkan bek tengah Korea Selatan, Kim Min-hyeok untuk bergandingan dengan Cools dan memastikan Buriram tidak dibolosi lagi.
Keinginan jurulatih Jepun itu bagaimanapun lebur apabila penyerang Palestin, Mahmoud Eid menggandakan kelebihan Bangkok United pada pada minit ke-50.
Biarpun ditunjangi tonggak-tonggak musim lepas seperti Cools, Goran Causic dan Theerathon Bunmathan, Thunder Castle seakan buntu mencari sentuhan penyudah. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan Bangkok Angels menjulang trofi pertama mereka untuk musim 2023-2024. Manakala bagi Buriram dan Cools pula, kekalahan ini bakal menjadi pembakar semangat apabila mereka memulakan kempen Thai League 1 menentang Khon Kaen United pada 12 Ogos ini.