Advertising
Dion Cools Bantu Buriram Julang Kejuaraan Thai League
Asia Tenggara
MakanBola
Buriram United

Kemenangan tipis 2-1 ke atas Chiangrai United sudah cukup untuk Dion Cools dan rakan-rakan sepasukannya dari Buriram United menjulang kejuaraan Thai League 1 musim ini. Ini merupakan trofi pertama daripada tiga trofi yang menjadi buruan Thunder Castle untuk musim 2022/2023.

Sebaik sepak mula, tuan rumah yang menggunakan formasi 5-3-2 dilihat mahu menyekat pasukan pelawat daripada menjaringkan gol. Bagaimanapun, itu langsung tidak mematahkan semangat anak-anak buah Masatada Ishii dan mendorong mereka meningkatkan serangan ke atas Chiangrai.

Hasilnya, Goran Causic meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-30. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan seketika susulan hujan batu sekitar minit ke-63. Tetapi sebaik perlawanan disambung semula, Buriram terus melebarkan kelebihan menerusi Pansa Hemviboon pada minit ke-67.

Ad

Bagaimanapun, Thunder Castle mula cemas apabila Kim Ji-min merapatkan jurang untuk tuan rumah pada minit ke-72. Ini mendorong Ishii membuat beberapa pertukaran termasuk memasukkan Cools sebagai pemain gantian untuk memperkuat barisan pertahanan Buriram.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan kemenangan ini, Bangkok United sudah tidak boleh mengejar dengan Buriram memiliki kelebihan 15 mata dan baki tiga perlawanan sebelum musim berakhir.

Ad
Ad

Kini, fokus Cools dan Buriram pula ialah separuh akhir Thai League Cup yang berlangsung pada 26 April ini. Sekiranya mereka berjaya menewaskan PT Prachuap, Thunder Castle bakal bersemuka sama ada dengan BG Pathum United atau Ratchaburi yang beraksi pada hari yang sama.

Ad

Sekiranya Ratchaburi layak ke final Thai League Cup, maka ini juga bakal menemukan dua pemain Harimau Malaya iaitu Cools dan penyerang kebangsaan, Safawi Rasid. Safawi yang dikhabarkan tidak gembira bersama The Dragons sudah pasti mahu menamatkan tempohnya di Thailand dengan satu trofi.

Selain gelaran juara Thai League 1 dan potensi gelaran Thai League Cup, Cools juga mampu menjulang Thai FA Cup bagi melengkapkan treble dengan syarat menewaskan Bangkok United pada 28 Mei ini.