Orang besi Harimau Malaya, Dion Cools dikhabarkan kini berada dalam radar Terengganu FC.
Khabar angin perpindahan mengejutkan itu dikongsikan oleh pengacara Astro Arena, Hafizal Hamad dalam segmen redONE Keluar Masuk Liga M di Nadi Arena hari ini.
Bagaimanapun, beliau menyatakan belum ada pengesahan daripada mana-mana pihak berkenaan khabar angin perpindahan tersebut.
“Saya difahamkan menerusi sumber saya bahawa Dion Cools berada dalam senarai (pemain yang diperhatikan Terengganu). Tapi kita tutup dulu cerita sehingga ada pengesahan tentang cerita tersebut,” katanya.
Bagi wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, seandainya perpindahan tersebut benar-benar berlaku, maka itu bakal menjadi perpindahan terbesar untuk tetingkap perpindahan musim 2024-2025.
“Kalau betullah (perpindahan Cools berlaku), maka itu akan menjadi perpindahan terbesar untuk musim 2024-2025,” ujarnya.
Sejak menyertai Buriram pada Januari 2023, Cools telah merekodkan 49 penampilan dalam semua kejohanan mengikut data terkini Transfermarkt.
Cools juga telah menyumbat satu gol dan mencipta dua bantuan gol untuk pasukan yang diberi jolokan Thunder Castle itu.
Bek tengah berdarah Sarawak-Belgium itu bakal menyertai skuad kebangsaan untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac ini.