Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mendapat bos baharu di kelabnya, Cerezo Osaka.
Ini selepas kelab J-League 1 itu mengumumkan jurulatih Sepanyol, Pablo Machin sebagai jurulatih baharu pasukan berkenaan. Machin dibawa masuk menggantikan Arthur Papas yang memilih menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.
Selepas pelantikan beliau disahkan, jurulatih berusia 51 tahun itu mengakui teruja dapat menyertai kelab berprestij seperti Cerezo.
Machin juga berharap dapat meneruskan kerja hebat yang ditinggalkan Papas dan membantu Cerezo lebih cemerlang untuk musim 2026/27.
“Pertama sekali, saya gembira dapat menyertai kelab bersejarah seperti Cerezo Osaka. Sejak saya mula-mula datang ke Jepun, saya berharap suatu hari nanti saya akan berpeluang melatih (pasukan) di sini.
:Sekarang saya diberi peluang ini, saya akan memberikan segalanya dan melakukan yang terbaik supaya bersama-sama kita boleh mencapai keputusan yang hebat,” katanya dalam satu kenyataan.
Machin bukan asing dengan bola sepak Asia. Ini kerana beliau pernah melatih Al-Ain (Arab Saudi), Al-Raed (Arab Saudi) dan Umm Salal (Qatar).
Majoriti karier Machin banyak dihabiskan di Sepanyol. Antara kelab yang pernah dilatih beliau ialah Numancia, Girona, Espanyol, Sevilla, Alaves dan Elche.
Machin juga pernah melatih kelab Cyprus, Apollon Limassol dari 2023 hingga pertengahan tahun 2024. Cerezo menamatkan musim di tangga ketiga liga keseluruhan selepas memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga musim lalu.