Bek tengah Malaysia, Dion Cools melihat skuad negara mempunyai peluang menewaskan Tajikistan dalam aksi Pestabola Merdeka malam ini.
Aksi malam ini dianggap pentas membalas dendam buat Harimau Malaya selepas tewas kepada lawan sama dalam aksi final Thai King’s Cup 2022.
Biarpun Singa Parsi berdepan pelbagai masalah termasuk kehilangan ramai pemain utama, Cools tidak memandang enteng cabaran mereka.
Justeru, beliau berharap Harimau Malaya dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini bagi meraih kemenangan ke atas pasukan ke-110 dunia itu.
“Kita ada pengalaman menentang mereka pada tahun lepas dan ini situasi sama. Sudah tentu kita kini di gelanggang sendiri, itu berikan kita kelebihan dan sokongan tambahan.
“Jadi, saya jangkakan sekiranya keadaan berjalan lancar, kita ada peluang memenangi perlawanan ini. Kita ada pasukan yang bagus.
“Kita jangkakan satu perlawanan yang bagus, saya fikir ia bukan satu perlawanan mudah. Mungkin ini satu senario terbaik yang berlaku esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan semalam.
Kemenangan malam ini bukan sekadar mengakhiri penantian trofi pertama Harimau Malaya dalam tempoh 13 tahun.
Malah, ini diharap dapat membantu Malaysia kembali merapatkan jurang dengan kedudukan 120 teratas FIFA.