Dion Cools menjadi pemain terakhir menyertai kem Harimau Malaya.
Ini selepas kelibat beliau dilihat ada dalam sesi latihan pasukan itu menerusi siri gambar yang dikongsikan Malaysia National Team.
Cools dilihat berinteraksi dengan staf kejurulatihan pasukan tatkala skuad negara berlatih di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Menariknya, hari sama beliau melapor diri juga merupakan hari lahirnya yang ke-29. Fakta ini dikongsikan Malaysia National Team menerusi sebuah video yang berbunyi, “Pemain kita yang raikan hari lahir sudah tiba.”
Cools menyertai kem Harimau Malaya selepas selesai memuktamadkan perpindahan ke kelab barunya, Cerezo Osaka.
Beliau dan bekas pemain tengah Daegu FC, Kyohei Yoshino diperkenalkan kepada penyokong sebelum aksi playoff J. League Cup dengan Yokohama FC pada 4 Jun lalu.
Cerezo memastikan mereka memiliki kelebihan pada aksi timbal balik dengan merekodkan kemenangan besar 4-1.
Cools berpeluang bergandingan dengan pemain-pemain baharu negara seperti Jon Irazabal dan Facundo Garces untuk aksi menentang Vietnam pada 10 Jun ini.