J. League Cup: Cerezo Osaka Bawa Bekalan Besar 4 Gol
MakanBola
Cerezo Osaka

Kelab baru Dion Cools, Cerezo Osaka meraih kelebihan awal ke atas Yokohama FC dalam aksi pertama play-off J. League Cup.

Ini selepas kelab yang dibimbing Arthur Papas itu membelasah Yokohama 4-1 di Stadium Yodoko Sakura.

Cerezo berpeluang layak ke pusingan kalah mati J. League Cup dengan syarat menjadi antara lima pemenang dua aksi playoff.

Sebelum perlawanan mereka dan Yokohama bermula, Sakura mengumumkan perpindahan Cools dan Kyohei Yoshino kepada para penyokong.

Sebaik perlawanan bermula, Cerezo berusaha mencari kemenangan berbekalkan tonik dua bintang baru yang akan menyertai pasukan itu.

Malangnya, kekentalan barisan pertahanan Yokohama diketuai Kyo Hosoi memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Sakura mula meningkatkan tekanan ke arah kubu pihak lawan untuk memburu jaringan pendahuluan.

Hasilnya, bekas pemain tengah Manchester United, Shinji Kagawa meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-55.

13 minit selepas itu, giliran tonggak import Brazil, Vitor Bueno menggandakan kelebihan di hadapan penyokong di Stadium Yodoko Sakura.

Pemain gantian, Rafael Ratao menambah derita Yokohama dengan gol ketiga pada minit ke-90.

Hinata Ogura merapatkan jurang gol pada minit ke-96. Pengganti Bueno, Motohiko Nakajima memulihkan kelebihan tiga gol Cerezo pada minit akhir perlawanan.

Yokohama perlu bangkit dalam aksi timbal balik pada 8 Jun ini jika ingin mara ke pusingan kalah mati J. League Cup. Cerezo pula hanya perlu mempertahankan kelebihan tiga gol mereka untuk layak.