Pertahanan kental Buriram United, Dion Cools terselamat daripada hukuman berat yang dikenakan oleh Konferderasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pemain berusia 27 tahun itu beraksi ketika pasukan Thailand itu berdepan wakil China, Zheijang ketika tewas tipis 3-2.
Aksi tersebut bagaimanapun diserikan dengan insiden besar yang melibatkan pergaduhan antara Cools dan pemain Zheijang yang kelihatan berada dalam luar kawalan.
Bekas pemain Club Brugge ini dilihat cuba menenangkan keadaan namun hampir terlibat dalam insiden tersebut.
AFC yang sudah pun melakukan siasatan terperinci mengenai keadaan tersebut dan telah membuat keputusan untuk mengenakan tindakan terhadap tiga pemain Buriram United.
Tiga pemain yang dimaksudkan ialah penyerang Azerbaijan, Ramil Sheydayev dikenakan penggantungan lapan perlawanan. Sementara dua lagi rakan sepasukannya, Leon James dan Chitipat Tanklang pula dikenakan penggantungan enam perlawanan.
Zhejiang juga tidak terlepas daripada dikenakan penggantungan sama. Tiga pemain iaitu Di Gao, Yao Junsheng dan Leonardo turut dikenakan penggantungan oleh AFC.
Nama Dion Cools tiada dalam senarai yang diumumkan sekaligus memberikan kelegaan buat semua pihak sambil memuji tindakan tegas pemain tersebut yang cuba meleraikan keadaan.