Disiplin Kunci Jepun Hadapi Belanda
MakanBola
Japan FA

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu melihat disiplin sebagai kunci untuk meraih keputusan positif bila bertemu Belanda dalam aksi pertama Kumpulan F Piala Dunia 2026.

Ini kerana pada hemat beliau, disiplin bukan saja dari segi mengawal tingkah laku ketika permainan. Malah, ini terpakai dari segi corak permainan yang diterapkan bila berdepan anak buah Ronald Koeman itu.

“Bila kita bercakap tentang permainan berdisiplin dan kurang melakukan kesalahan, saya fikir sebahagian besar daripadanya berkait dengan mental. Aspek itu ialah memastikan kita tidak hilang semangat dan ketenangan kami sendiri.

“Sudah tentu, kita sudah tahu cara kami ingin bermain bila menentang Belanda. Ini berdasarkan falsafah dan asas (permainan) yang kita bina selama ini. Kita juga membuat persiapan khusus bila hendak menentang Belanda.

“Meskipun kita memiliki falsafah dan corak permainan yang kita mahukan, pada masa sama, apa yang kita rancang tidak selalunya menjadi. Apabila perkara itu berlaku, penting bagi kita untuk tidak panik,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan Singapura, Ashikin Hashim atau Futbolita.

Moriyasu turut mengingatkan corak permainan Jepun bukan sekadar menonjolkan corak yang ingin diterapkan. Malah, corak tersebut hendaklah membuatkan pihak lawan merasa tidak selesa semasa perlawanan berlangsung.

Meskipun terpaksa melupakan khidmat Wataru Endo, jurulatih Jepun itu percaya barisan 26 pemain yang dipilih mampu mengharumkan nama negara itu di pentas Piala Dunia.

Jepun bakal bertemu Belanda di Stadium AT&T, Arlington pada awal pagi 15 Jun.