Bekas pemain Kuching City FC, Danial Asri menjadi pemain terbaru menyertai DPMM FC.
Perpindahan pemain sayap berusia 26 tahun itu diumumkan pengurusan DPMM menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu.
‘DPMM FC telah menandatangani pemain sayap Malaysia, Danial Asri dari Kuching City FC. Danial merupakan pemain utama untuk pasukan naib juara Liga Super itu di belakang (juara liga), Johor Darul Ta’zim,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selepas menyertai Kuching City pada musim lalu, Danial merekodkan 32 penampilan, lapan gol dan empat bantuan gol dalam semua kejohanan.
Bekas pemain Selangor FC itu membantu The Cats muncul naib juara Piala Malaysia dan layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebagai naib juara liga.
Danial bakal bergandingan dengan bekas rakan sepasukan di Selangor, Samuel Somerville. Somerville antara empat pemain baharu yang diumumkan DPMM baru-baru ini.
DPMM dilihat rancak menggerakkan aktiviti perpindahan bagi membentuk skuad mantap untuk menghadapi musim 2026/27.