Dua Jaguh Denmark Kritik Penganjur India Open
UltraSukan
Zaki Zainal

Dua jaguh Denmark menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kualiti penganjuran India Open 2026.

Pemain perseorangan nombor satu Denmark, Anders Antonsen merasakan ini bukan tempoh paling sesuai untuk menganjurkan kejohanan itu.

Ini kerana pada hematnya, kualiti udara di New Delhi tidak berada pada tahap terbaik. Ini dilihat mengancam kesihatan semua pemain dan jurulatih yang menyertai India Open.

Sebab ini juga yang mendorong Antonsen tidak menyertai kejohanan itu selama beberapa tahun.

Keengganan beliau menyertai India Open menyebabkan Antonsen dikenakan denda AS$5,000 (RM20,000) oleh BWF.

616129365 18556209715015532 4972793140672147086 n Dua Jaguh Denmark Kritik Penganjur India Open

“Ramai orang tertanya-tanya kenapa saya menarik diri dari India Open buat tahun ketiga berturut-turut.

“Disebabkan pencemaran teruk di New Delhi buat masa ini, saya tak fikir ia satu tempat untuk menganjurkan kejohanan badminton.

“Saya harap situasi ini akan jadi lebih baik pada musim panas di mana BWF World Championships akan diadakan di New Delhi. Akibatnya, BWF sekali lagi mendenda saya AS$5,000 (RM20,000),” katanya di Instagram Story.

Sentimen sama turut dikongsi jaguh perseorangan wanita Denmark, Mia Blichfeldt. Blichfeldt yang menyertai saingan edisi 2026 menyifatkan pelbagai masalah yang dibangkitkan pada edisi tahun lalu masih belum diselesaikan.

Antara isu yang timbul dalam edisi kali ini ialah tahi burung di atas gelanggang dan keadaan gelanggang yang kotor.

Blichfeldt yang juga pemain perseorangan wanita ke-20 dunia turut menyifatkan ia langsung tidak sesuai sebagai tuan rumah BWF World Championships.

“Keadaannya sangat buruk. Ianya kotor pada tahun lalu dan tiada perbezaan untuk keadaan pada tahun ini juga,” katanya seperti dilaporkan Press Trust of India.

“Saya harap BWF akan melihat keadaan venue pertandingan kerana ini tidak sesuai untuk pemain bertanding terutama jika ia sepatutnya menjadi tuan rumah kejohanan besar seperti BWF World Championships.”

Blichfeldt mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 dengan mengalahkan wakil Chinese Taipei, Chiu Pin Chian.