Dua kelab Belgium difahamkan berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan kental Harimau Malaya, Dion Cools.
Perkara ini dilaporkan oleh laman Frfuturetalents berkenaan keinginan dua kelab Belgium itu untuk membawa pulang pemain berusia 27 tahun itu.
Cools pulang beraksi di Asia Tenggara selepas beberapa tahun berkelana di Eropah bersama kelab terkemuka di sana.
Beliau menyertai kelab Thailand, Buriram United sejak awal tahun 2022 dan menempa pelbagai kejayaan termasuklah menggondol treble musim lalu.
Bekas bintang Club Brugge ini difahamkan menarik minat kelab Belgian Pro League, Cercle Brugge dan juga OH Leuven.
Cools ditagih oleh Cercle Brugge susulan kelab itu bakal beraksi di UEFA Europa League musim hadapan.
Kemampuan pemain kelahiran Sarawak itu beraksi pada beberapa posisi pertahanan menarik minat banyak kelab untuk mendapatkan khidmatnya.
Kontrak Cools difahamkan berakhir Jun 2024 sekaligus memungkinkan mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmatnya menurut laman Transfermarkt.