Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC kini dalam proses untuk mempersiapkan skuad yang lebih baik menjelang musim hadapan.
Dijangkakan dua pemain bahagian serangan luar negara akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan Gergasi Merah iaitu bekas pemain bawah 21 tahun Turki, Deniz Hummet dan pemain kelahiran Belanda yang pernah membarisi skuad kebangsaan Cape Verde, Alvin Fortes.
Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran dalam satu hantaran di laman X milik beliau. Difahamkan proses rundingan sedang berjalan untuk kedua-dua pemain ini.
Deniz Hummet merupakan pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi dan posisi utamanya adalah penyerang. Selain penyerang, pemain 27 tahun itu mampu beraksi di bahagian sayap dan juga posisi tengah.
Kontrak beliau bersama Kalmar FF di Liga Sweeden dijangka akan tamat pada 31 Disember ini. Musim 2023 menyaksikan Deniz Hummet berjaya menjaringkan 12 gol dalam 48 penampilan untuk Kalmar FF.
Berbeza dengan Alvin Fortes yang baru sahaja meninggalkan kelab Thailand, Ratchaburi FC pada November lalu. Musim ini menyaksikan khidmat Alvin jarang digunakan.
Pemain sayap lincah berusia 29 tahun itu hanya merekodkan 5 penampilan bersama Ratchaburi musim ini dengan dua gol berjaya dihasilkan.
Dengan kemasukan dua pemain baharu ini seolah-oleh membayangkan bahawa terdapat beberapa pemain import skuad utama Selangor yang akan dilepaskan sebelum musim hadapan bermula Mei 2024.