Peminat Harimau Malaya dapat menonton aksi Vietnam vs Malaysia secara percuma malam ini.
Pertembungan separuh akhir ASEAN Hyundai Cup melibatkan Vietnam vs Malaysia menjadi tumpuan ramai, bukan sahaja peminat bola sepak tempatan, tetapi di seluruh rantau Asia Tenggara untuk merebutkan tiket ke pentas final.
Malaysia yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe hadir ke Hanoi dengan misi besar untuk memadam kelebihan dua gol yang dimiliki oleh Vietnam hasil kemenangan 2-0 yang diraih pasukan Pahlawan Bintang Emas itu di Cheras pada Sabtu lalu.
Walaupun pasukan negara bakal beraksi di tempat lawan, namun sokongan dari penyokong di tanah air tetap dapat diberikan menerusi tayangan siaran langsung yang disediakan secara percuma oleh pihak ASEAN United FC di platform rasmi mereka.
Peminat dapat menonton secara penstriman langsung di platfrom YouTube dan Facebook rasmi ASEAN United FC pada jam 9 malam secara percuma sementara bagi pelanggan Astro, anda boleh mengakses perlawanan ini di saluran 801.
Meskipun Malaysia tampak berada dalam tekanan pada aksi ini, Tan Cheng Hoe mahu para pemain negara turun dengan keyakinan tinggi apabila turun bertemu lawan yang bakal menerima sokongan padu dari peminat sendiri di stadium nanti.
“Dalam bola sepak, kadang kala kita kena turun dengan keyakinan bahawa kita mampu mengubah keputusan. Namun, kami tetap menghormati skuad kebangsaan Vietnam,” ujar Tan Cheng Hoe ketika sesi sidang media.
“Ini kerana mereka mempunyai rekod yang sangat baik di bawah kendalian Kim Sang-sik yang belum tewas dalam lebih 20 perlawanan (setakat ini).”
“Jadi, dengan semua statistik dan rekod itu, kami tetap perlu bermotivasi dan memiliki keyakinan.”
“Walaupun kami tahu, esok stadium bakal dipenuhi penyokong yang akan memberikan sokongan kepada pasukan Vietnam, kami akan memberi aksi yang terbaik, membuat persiapan dan menganalisa permainan kami.”
“Pada masa yang sama, saya rasa kami tidak terlalu tertekan dengan situasi ini.”
Aksi Vietnam vs Malaysia akan berlangsung pada Rabu, 19 Ogos 2026 di Stadium My Dinh dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 9 malam waktu Malaysia.