Dua Tonggak Kuching City Bakal Ke Terengganu?
MakanBola
Kuching City FC

Dua tonggak Kuching City FC dilaporkan akan menyertai pasukan Pantai Timur, Terengganu FC.

Dua tonggak yang dimaksudkan ialah pemain tengah, Danial Amier Norhisham dan penyerang naturalisasi negara, Jordan Mintah.

Selepas nama kedua-dua pemain tidak diumumkan dalam senarai pemain yang dikekalkan Kuching City, ramai peminat bola sepak ingin tahu destinasi Danial Amier dan Mintah selepas ini.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam kemudiannya melaporkan kedua-dua pemain bakal berkelana ke Terengganu.

“Dari Selatan ke Borneo, kini menuju Pantai Timur. Difahamkan, Boy – Danial Amier Norhisham akan menyertai Terengganu,” katanya di X.

Jika perpindahan ini direalisasikan, kedua-dua pemain dijangka menambah kekuatan Terengganu terutama di bahagian serangan. Mintah dilihat akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Yann Mabella.

Ini selepas penyerang Congo itu memilih menyertai kelab Super League, Persebaya Surabaya. Beliau turut disertai bekas penyerang DPMM FC, Ramadhan Sananta.

Mintah juga berpeluang kembali bekerjasama dengan jurulatih baharu Terengganu, Nafuzi Zain. Ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama ketika Nafuzi melatih Terengganu buat kali pertama dari 2019 hingga 2022.